Najib masih ada empat lagi kes belum selesai

0
410

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kini dipenjarakan atas kes RM42 juta SRC International selepas Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah semalam.

Begitupun, bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai empat lagi kes mahkamah yang belum selesai.

Ahli Parlimen Pekan itu berusia 69 tahun itu menghadapi satu lagi perbicaraan melibatkan SRC International Sdn Bhd. Beliau didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta.

Memetik laporan The Star, beliau didakwa menerima RM27 juta itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pada 8 Julai 2014.

Kes keduanya membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Bagi kes ketiga, Najib dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah didakwa bersama enam pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM6.64 bilion dana kerajaan dalam kapasiti mereka masing-masing sebagai Menteri Kewangan dan ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya, antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Satu lagi kes adalah kes pindaan laporan audit 1MDB di mana Najib didakwa atas tuduhan salah guna kuasa.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengannya.

Najib dikatakan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here