Amy Search terima gelaran Datuk

VOKALIS kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Amy merupakan satu-satunya pelaku seni yang menerima pingat tersebut sempena Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ali Rustam dan semua pihak yang terlibat.

“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” katanya lapor Astro Gempak.

Di samping itu, Amy berkata anugerah pingat tersebut merupakan tanggungjawab kepadanya dan pengiktirafan buat seluruh karyawan hiburan.

“Dengan dikurniai pingat ini, ia memberi saya lebih tanggungjawab demi menjadi teladan yang lebih baik.

“Pingat ini sebenarnya juga bukan untuk saya secara individu tetapi adalah mengiktiraf bahawa anak seni atau karyawan hiburan juga memainkan peranan penting dalam sosio ekonomi kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai senarai 883 penerima darjah kebesaran Negeri apabila dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.