Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Setiausaha Agung FAM letak jawatan, tumpu kerjaya antarabangsa   -

Setiausaha Agung FAM letak jawatan, tumpu kerjaya antarabangsa  

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan sudah mengemukakan surat peletakan jawatan pada minggu lepas. 

Mohd Saifuddin berkata keinginan untuk kembali menyambung kerjaya di peringkat antarabangsa menjadi sebab beliau mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada badan induk bola sepak negara itu. 

Tanpa mendedahkan hala tujunya selepas ini, beliau berkata satu mesyuarat tergempar dijadual berlangsung di FAM petang ini (Selasa) bagi membincangkan keputusan pengundurannya.  

“Alasannya tiada lain disebabkan saya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya antarabangsa. Saya pun rasa secara tidak langsung saya telah menyumbang kepada kejayaan FAM (sekarang),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bekas Perunding Teknikal Liga Profesional Oman itu yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada penghujung Ogos tahun lepas turut menafikan laporan media tempatan bahawa beliau bakal ‘direhatkan’. 

Beliau yang berang dengan laporan itu berkata tiada sebab untuk dirinya direhatkan apabila telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah selama ini. 

“Tiada gesaan (letak jawatan) atau apa-apa, saya (juga) gembira bekerja di FAM. Saya rasa saya tak pernah calarkan nama FAM…jelas juga saya tak ambil dan curi duit FAM atau ambil komisen dan sebagainya,” katanya yang juga bekas Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan di Oman. 

Mohd Saifuddin yang juga komisioner perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkata Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin adalah sebab untuk beliau kembali bekerja di FAM. 

“Beliau (Hamidin) adalah kawan saya, pada masa sama saya nak bantu bola sepak Malaysia. Perkara terbesar telah saya buat (di FAM) adalah membangunkan beberapa liga domestik, beri cadangan mengenai pertandingan Piala Belia dan kongsi idea untuk bantu persatuan bola sepak negeri,” katanya. 

Mohd Saifuddin menyertai FAM sejak 1993 hingga 2004 sebagai Ketua Jabatan Pertandingan FAM selain pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung pada 2007 hingga 2009. 

Pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung FAM itu susulan kekosongan ditinggalkan Stuart Ramalingam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL). -BERNAMA