Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes SRC: Najib tidak pernah pertikai RM42 juta dideposit ke akaun peribadi - Mahkamah Persekutuan -

Kes SRC: Najib tidak pernah pertikai RM42 juta dideposit ke akaun peribadi – Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mempertikai RM42 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya sepanjang perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat itu berkata, teras pembelaan Najib adalah untuk mencabar elemen mens rea atau niat melakukan jenayah iaitu beliau menafikan pengetahuan bahawa dana itu adalah daripada SRC.

Hakim nombor satu negara itu berkata pihak pendakwaan berpendirian bahawa pihak pembelaan tidak wajar dipercayai kerana di satu pihak, mereka mendakwa RM42 juta yang dikatakan telah diperoleh secara salah oleh perayu (Najib) sehingga menyebabkan kerugian kepada SRC tidak beliau ketahui.

Beliau berkata sebaliknya, perayu juga menegaskan bahawa beliau telah dianiaya dalam konspirasi yang oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Allahyarham Datuk Azlin Alias (ketika itu setiausaha sulit utama Najib), Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC), dan pegawai bank.

“Perayu juga mempertahankan bahawa wang yang dikreditkan ke dalam akaun peribadi di bank AmIslamic yang menjadi subjek enam pertuduhan terakhir, adalah derma dari Arab Saudi.

“Responden berhujah mereka sentiasa mengekalkan dalam perbicaraan bahawa pembelaan sama sekali tidak konsisten dan bercanggah. Responden juga merujuk kepada bukti dokumen yang membuktikan perayu telah membelanjakan RM42 juta,” katanya.

Ketua Hakim Negara seterusnya berkata Hakim Mahkamah Tinggi (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) tidak terkhilaf dalam menilai semua keterangan yang dikemukakan berhubung pembelaan dan tidak mempercayai naratif pembelaan.

Tengku Maimun berkata mahkamah membuat kesimpulan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan adalah betul.

“Dalam membuat kesimpulan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, kami mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

“Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan adalah jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan. Kami bersetuju bahawa pembelaan sememangnya tidak konsisten dan luar biasa sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata Ketua Hakim Negara.–Bernama