[VIDEO] Dua lelaki ragut wanita berbaju kelawar ditahan

TINDAKAN pantas penghantar makanan serta beberapa orang awam lain berjaya mematahkan cubaan ragut di tepi Lorong Kuda Persiaran KLCC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada malam Ahad.

Klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan berani orang awam yang berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa ragut dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.

Daya ketahanan wanita berbaju kelawar tersebut juga menjadi pujian dan bualan warganet kerana dapat menahan salah seorang peragut daripada melarikan diri.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan dan warga asing masing-masing berusia 32 dan 35 tahun telah ditahan polis.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 9.38 malam.

Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha, dua buah topi keledar dan sebuah rangkai kunci motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai menyalurkan maklumat dengan serta aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah Dang wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.