PN Perak kenal pasti 26 DUN untuk ditandingi

PERIKATAN Nasional (PN) Perak mengenal pasti 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini untuk ditandingi tiga komponen parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, daripada jumlah itu, tujuh kerusi yang dimenangi pada PRU14 kekal status quo membabitkan DUN Chenderiang, Selama, Sungai Manik, Tualang Sekah, Kuala Kurau, Gunung Semanggol dan Kubu Gajah.

Katanya, daripada 59 kerusi DUN di Perak, 10 kerusi berlaku pertindihan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan manakala 23 kerusi DUN lagi masih tiada sebarang keputusan untuk ditandingi parti mana.

“Di peringkat negeri, PN Perak mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan di antara Badan Perhubungan Bersatu Perak bersama Pas Perak dan Gerakan negeri.

“Sebenarnya di peringkat DUN, kita sudah hampir selesai berbincang (pembahagian kerusi). Setakat hari ini, kita telah mengenal pasti 26 kerusi DUN, hanya 10 kerusi berlaku pertindihan dan bakinya adalah kerusi yang belum ada keputusan mana-mana parti yang ingin meletakkan calon,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2022 Singapura di Hotel Casuarina di Ipoh pada Isnin.

Menurut beliau, bagi menyelesaikan isu berkaitan pertindihan kerusi, setiap parti perlu mengemukakan calon masing-masing bagi membolehkan penilaian dibuat.

Katanya, setiap parti komponen perlu mengemukakan nama calon, profil dan penglibatan serta aktiviti mereka dalam tempoh dua atau tiga tahun bagi melihat penerimaan dalam kalangan rakyat.

“Ada satu pasukan yang akan membuat penilaian berdasarkan nama-nama yang dikemukakan oleh setiap parti.

“Contohnya satu kerusi DUN, Pas nak, Gerakan pun nak. Jadi, setiap parti beri calon masing-masing dan kita akan tengok kekuatan mereka. Kita mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan secara terbuka,” katanya memetik laporan Utusan Online.