Mesyuarat tergempar UMNO tangguh, Zahid perlu hadir prosiding, tunggu Ismail Sabri

MESYUARAT tergempar Ketua-ketua UMNO Bahagian bersama Presiden parti ditangguh sebentar tadi dan akan disambung semula jam 5.30 petang ini.

Portal Suara TV melaporkan pengangguhan ini dibuat memandangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu hadir ke prosiding perbicaraannya dan menanti kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Difahamkan mesyuarat mahukan kehadiran Ismail Sabri dan Zahid bagi merungkai isu-isu yang berbangkit dalam UMNO.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin mesyuarat tergempar hari ini membincangkan isu-isu semasa.

“Bincang isu-isu semasa, macam-macam isu.

“Tapi mesyuarat tangguh sehingga 5.30 petang selepas Zahid selesai di mahkamah,” kata Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu ketika ditemui media di lobi Menara Datuk Onn pada Isnin.

Difahamkan cuma 73 Ketua UMNO Bahagian yang hadir sedangkan jumlah keseluruhan 191.

Bagaimanapun portal berita Agenda Daily yang memetik sumber melaporkan hampir 140 Ketua Bahagian menghadiri mesyuarat bermula sekitar jam 11 pagi tadi itu.

Bagaimanapun, menurut portal berkenaan majoriti yang hadir dalam mesyuarat tersebut difahamkan menyokong Perdana Menteri walaupun mereka dipanggil atas jemputan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara yang dilihat hadir Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shahrir Samad, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Jamal Yunus.

Kata sumber, agenda utama yang dibincangkan ialah desak segerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) namun topik utama berkisar ‘Ismail Sabri’.

Antara lain dikhabarkan berkenaan skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan kes mahkamah Datuk Seri Najib Razak.