MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh di sini hari ini memerintahkan seorang peniaga buah berkelakuan baik selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan rusuhan bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan, tujuh tahun lepas.
Majistret Mazana Sinin, yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Boon Jin, 25, turut mengenakan bon jaminan sebanyak RM1,000 dan tertuduh akan didakwa jika gagal berkelakuan baik sepanjang tempoh tersebut.
Terdahulu, peguam Kent Tan memohon supaya tertuduh dijatuhi hukuman berkelakuan baik atas alasan ketika kejadian, anak guamnya berumur 17 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama beberapa individu yang masih bebas dengan menggunakan senjata sehingga mendatangkan kecederaan di depan sebuah restoran di Jalan Cheng Baru, Lebuh AMJ di sini pada 9 malam 2 Sept 2015 mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nur Shaari.–Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.