Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Di kala orang berlumba naik harga jualan, Idham kekal jual donat 10 sen sebiji -

Di kala orang berlumba naik harga jualan, Idham kekal jual donat 10 sen sebiji

“Saya suka tengok orang susah pun boleh beli donat ini,” itulah yang diucapkan oleh seorang peniaga yang hanya menjual donat dengan harga yang amat murah iaitu 10 sen sebiji, di kala ramai peniaga berlumba-lumba menaikkan harga jualan.

Menurut Idham Syafiq Darmilus, 34, jualan donat adalah pendapatan sampingan dan niatnya berniaga bukanlah semata-mata mahu mengejar keuntungan, sebaliknya lebih kepada mahu membantu golongan yang susah agar dapat merasai nikmat membeli.

Sebenarnya tujuan saya bukan nak mencari untung sangat tetapi lebih kepada keberkatan. Saya pun dari golongan B40, bila tengok orang susah yang anak ramai pun mampu beli donat saya, saya sukalah sebab ini juga cara saya nak bantu orang,” katanya lapor FMT.

Katanya lagi, meskipun ramai pelanggan terkejut dia menjual dengan harga yang begitu murah malah ada juga yang menyarankan dia menaikkan harga, namun Idham masih mahu mengekalkan harga yang sama sejak mula berniaga pada 2016.

“Saya dah jual donat 10 sen sejak 2016 sampai sekarang masih kekalkan harga sama, saiz sama tak berubah. Ada juga pelanggan tanya kenapa murah sangat, kenapa tak jual 5 seringgit tetapi saya kekalkan harga sama,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Idham berkata pada awalnya dia menjual donat bersama isteri di Dungun, namun selepas mendapat kerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Kuala Terengganu dia terpaksa berjauhan dengan keluarga dan mula berniaga sendiri.

Ujar Idham, dia belajar membuat donat mengikut resepi isterinya, justeru selepas habis bekerja pukul 7 malam, dia akan membuat donat dan pada pukul 9 dia mula menjual. Menurutnya, hampir setiap hari jualan habis dalam masa 30 minit sahaja.

“Selepas habis kerja di kedai makan dalam pukul 7, lepas Maghrib saya mula buat donat dalam 2kg, lepas berjual depan Maybank Kuala Terengganu tu, Alhamdulillah setiap hari jualan habis, dalam setengah jam sahaja dah habis orang beli,” tambahnya.

Kata bapa kepada lima orang cahaya mata ini, meskipun keluarganya juga susah ditambah dengan kos sara hidup yang makin tinggi, tetapi hasil jualan donat 10 sen itu sedikit sebanyak banyak membantu dia menyara keluarga.

“Walaupun saya kekalkan harga 10 sen masih ada untung, pulang modal juga dan boleh lagi bantu tampung belanja kami anak-beranak.”

Tambahnya, dia juga memasang impian untuk mengembangkan perniagaan selain mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong perniagaannya.

Sebelum ini, kisah Idham menjual donat tular di media sosial, rata-rata warganet kagum melihat masih ada lagi peniaga menjual kuih dengan harga 10 sen dimana jarang sekali kita lihat lebih-lebih lagi pada zaman inflasi ini