Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jangan salahkan Muhyiddin jika tak dapat kuota TPM-Razali -
Razali Idris

Jangan salahkan Muhyiddin jika tak dapat kuota TPM-Razali

PIMPINAN dan akar umbi Bersatu diminta tidak menyalahkan Tan Sri  Muhyiddin Yassin yang gagal mendapatkan kuota jawatan timbalan perdana menteri (TPM) seperti dijanjikan kepada Perikatan Nasional (PN) oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata seorang pemimpin parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata presiden Bersatu itu telah melakukan yang terbaik dengan mencadangkan calon dari PN menerusi pelbagai rundingan, namun hak melantik TPM adalah hak prerogatif perdana Menteri (PM).

“Tan Sri (Muhyiddin) dah bagi nama, jadi hak melantik itu hak eksklusif PM, kalau PM tak mahu lantik, kita terima sajalah. Jadi MPT dan ahli tak boleh desak atau marah sebab Tan Sri dah buat yang dia mampu.

“Bagi saya, untuk jawatan TPM, cukuplah… benda itu dah selesai. Cukuplah kita desak PM dengan jawatan-jawatan yang dijanjikan,” katanya kepada FMT.

Ismail dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia berkata, tiada keperluan melantik TPM kerana sudah pun disokong oleh empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri pimpinannya.

Perdana menteri berkata demikian setelah PN dilapor mahu mengatur pertemuan rasmi untuk mendesaknya menunaikan janji melantik TPM daripada Bersatu.

Bagaimanapun, Razali berpendapat perjumpaan antara wakil PN dan perdana menteri masih perlu diteruskan kerana banyak perkara yang berbangkit masih belum dibincangkan.

Beliau yang juga ketua Bersatu Terengganu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci perkara berbangkit itu.

“Jangan kata apabila PM dah cakap untuk tidak lantik TPM, maka perjumpaan dengan wakil PN terhenti. Perjumpaan itu perlu ditunaikan segera untuk bincang perkara berbangkit, bukan isu jawatan (TPM) saja.

“Banyak lagi benda yang kita perlu bincang elok-elok,” katanya.

Kalangan pemimpin Bersatu sebelum ini menyelar Ismail kerana dikatakan tidak mematuhi perjanjian yang diikat dengan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berhubung perlantikan TPM dan beberapa perkara lain.

Perjanjian itu dikatakan dimeterai sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.