UMNO menang besar jika PRU diadakan tahun ini – Tun Mahathir

0
237

TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika PRU-15 diadakan secara tergesa-gesa pada tahun ini, UMNO akan  menang besar.

Bekas Perdana Menteri berkata, pendirian UMNO yang mahukan PRU-15  diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

Dalam wawancara bersama The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata pada masa ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar.

“Saya fikir mereka (UMNO) mahu mengadakan PRU tahun ini. Kalau boleh mungkin seawal dua tiga bulan dari sekarang kerana mereka merasakan ketika ini rakyat masih memandang tinggi terhadap mereka. Malah, pembangkang pula sudah berpecah belah,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, UMNO berkemungkinan akan menang besar jika PRU15 diadakan secara tergesa-gesa.

“Jadi dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.

Beberapa pemimpin kanan mendesak Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada PRU.

Mereka memberi alasan mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat dalam usaha mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun terdapat juga dalam kalangan pemimpin UMNO yang tidak bersetuju PRU diadakan lebih awal.

Sebaliknya mereka berkata adalah lebih wajar Ismail Sabri yang genap setahun menjadi Perdana Menteri meneruskan tugas untuk bersama kerajaan sedia ada sehingga penggal berakhir.

Mereka melihat desakan supaya PRU diadakan lebih awal boleh membangkitkan kemarahan yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here