SPRM tahan dua individu buat tuntutan palsu kursus ‘hantu’

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM40,000.

Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Katanya, suspek wanita berusia 29 tahun adalah eksekutif kanan sebuah syarikat dan suspek lelaki berusia 56 tahun pula adalah pemilik syarikat penyediaan latihan.

“Mereka dipercayai terbabit dalam kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan lima penganjuran latihan perisian komputer bernilai lebih RM40,000 pada 2021 sedangkan penganjuran latihan itu tidak dilaksanakan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang untuk tujuan permohonan reman pagi ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.