LELAKI Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di hutan dekat Kampung Kituau, di Penampang, malam tadi ditemui selamat hari ini.
Pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui pemuda 39 tahun itu kira-kira 200 meter dari rumahnya pada pukul 9.30 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui berdasarkan kesan tanah yang dipercayai dikoreknya.
“Dia lemah dipercayai akibat kelaparan selepas tidak makan sejak tengah hari semalam.
“Pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum mangsa dihantar pulang ke rumahnya dan operasi ditamatkan pada 9.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Mangsa disedari hilang oleh ahli keluarganya pada 3 petang semalam, yang kemudian membuat laporan untuk mencarinya.
Usaha mencari OKU itu turut dibantu penduduk kampung namun, ditangguhkan pada 11.30 malam selepas gagal temui apa-apa. Operasi disambung semula 7.30 pagi tadi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.