KENAIKAN mendadak caj bayaran parkir kereta swasta di sekitar Lembah Klang memaksa kalangan warga kota mengambil tindakan drastik, termasuk keluar rumah di waktu subuh untuk ‘merebut’ parkir awam, tidak kurang ada yang menimbang untuk terus berhenti kerja.
Di Petaling Jaya, Selangor, sebuah tapak parkir kereta yang popular dan berdekatan LRT Taman Jaya merombak yuran parkir sehingga memaksa pengguna membayar RM25 untuk lapan jam, berbanding RM6 sebagai ‘flat rate’ sebelum ini.

Yuran baharu yang diperkenalkan Selasa lalu menetapkan bayaran RM7 untuk tiga jam pertama dan RM3 untuk setiap jam berikutnya.
Akibat kenaikan mendadak itu, tapak parkir yang sebelum ini penuh dengan kereta pekerja di sekitar kawasan itu, kini lengang kerana orang ramai tidak mampu membayar yuran baharu yang dikenakan.
Memetik laporan FMT, seorang pekerja di bangunan pejabat, di tingkat atas pusat membeli belah yang menggunakan parkir itu saban hari sebelum ini, berkata, kenaikan itu tidak munasabah.
“Saya tak guna pengangkutan awam sebab kena hantar anak-anak ke rumah pengasuh dan sekolah setiap hari. Saya terpaksa bawa kereta. Tapi caj parkir yang naik mendadak ini sangat membebankan saya. Bayangkan sebelum ini saya hanya bayar RM6 untuk sekali masuk dan sekarang saya perlu bayar RM25-RM30 untuk sehari.
“Kalau macam ini, suku daripada gaji saya habis dekat parkir saja. Tak masuk duit minyak, tol, makan tengahari dan sebagainya. Ini sangat menyusahkan,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Rose.
Seorang lagi pekerja yang enggan dikenali, berkata beliau mungkin terus berhenti bekerja kerana “tidak berbaloi” jika belanja begitu besar dikeluarkan untuk parkir kereta semata-mata.
“Gaji kami kecil, gaji tak cukup untuk bayar ansuran rumah, pinjaman kereta. Pagi dan petang kena menguruskan anak, hantar, ambil mereka daripada pengasuh, jadi terpaksa berkereta untuk ke kerja. Tetapi dengan perbelanjaan tambahan macam ini (caj parkir kereta), baik cari kerja dekat rumah, walau gaji tak seberapa,” katanya yang bergaji kurang RM3,000 sebulan.
Dalam pada itu, tinjauan FMT di kawasan berdekatan parkir swasta itu mendapati kemudahan parkir yang disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) begitu terhad untuk kawasan kepadatan pekerja yang begitu tinggi.
Keadaan itu, diburukkan dengan kenaikan mendadak caj parkir swasta, memaksa pekerja swasta, Mullaimalar Seleplai terpaksa bangun seawal 5 pagi dan bergegas ke pejabat, hanya untuk berebut ruangan parkir awam.
“Rumah saya di Klang. Setiap hari saya keluar dari rumah jam 5.45 pagi dan hanya akan sampai di pejabat sekitar jam 7 pagi. Ketika itu, parkir di sini sudah hampir penuh. Saya selalu tidur dalam kereta. Ramai orang tidur dalam kereta, sebab kami sampai awal untuk rebut parkir.
“Saya belum ada anak dan situasi kena keluar rumah awal menyebabkan saya dan suami bimbang bagaimana nak menguruskan penjagaan anak dalam keadaan macam ini,” katanya.
Rakan sekerjanya Choo Hon Nang, yang tinggal di Shah Alam juga terpaksa berebut untuk mendapatkan parkir awam bagi menjimatkan kos.
“Saya keluar rumah pada jam 6 pagi dan tiba di pejabat jam 7 pagi. Pejabat masih belum buka. Jadi kami yang sampai awal, sebab berebut parkir akan sambung tidur dalam kereta. Ini sangat memenatkan,” ujarnya.

Seorang eksekutif syarikat parkir, yang mengendalikan parkir berkenaan, berkata yuran baharu parkir itu masih “dalam pemantauan”.
“Kami masih memantau dan saya pasti akan ada penurunan caj parkir dalam masa terdekat. Kami difahamkan pengunjung pusat beli belah ini mengadu sukar untuk mendapatkan parkir sebab pekerja bangunan berdekatan memilih untuk parkir di sini,” kata beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memandang berat isu kenaikan caj bayaran parkir kereta secara mendadak di beberapa tempat sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Kenaikan harga parkir ini tidak ada kaitannya dengan inflasi harga barang sekarang. Tak masuk akal kenapa nak naikkan juga caj parkir.
“Kita nampak mereka (pengusaha parkir swasta) seolah ambil kesempatan,” kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.