Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun, denda lebih RM800,000 kes salah guna kedudukan -

Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun, denda lebih RM800,000 kes salah guna kedudukan

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan adiknya masing-masing dipenjara selama tiga tahun dan didenda sebanyak RM807,475 selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan kira-kira 10 tahun lalu.

Tertuduh iaitu Prof. Badaruddin Mohamed, 56, dan adiknya, Mustafa Kamal Mohamed, 50, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Zulhazmi Abdullah hari ini selepas pihak pembelaan gagal membuktikan wujudnya keraguan munasabah pada akhir pembelaan terhadap kedua-dua

Mahkamah turut mengarahkan mereka dipenjara antara satu hingga enam bulan mengikut pertuduhan yang dikenakan jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Zulhazmi membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan kedua-dua tertuduh dibenar diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang.

Ia susulan peguam tertuduh, Shamsul Sulaiman mengemukakan rayuan untuk pihaknya memfailkan notis rayuan bagi kes itu di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport selain melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan mereka selesai.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri.

Badaruddin sebelum ini mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama pada Oktober 2018 atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukan yang dimilikinya.

Ia bertujuan mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya iaitu MK Urusniaga (M) Sdn. Bhd. bagi membekalkan pelbagai barangan untuk jabatan tempat dia bekerja membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.

Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM di Georgetown dekat sini antara September 2011 hingga November 2012.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Mustafa Kamal pula didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama. – SB