Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kelantan United menang bergaya, benam Selangor FC II 4-0 -

Kelantan United menang bergaya, benam Selangor FC II 4-0

KELANTAN United FC (KUFC) mencatat kemenangan bergaya apabila membenam Selangor FC II 4-0, dalam aksi tunggal Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, petang ini.

KUFC membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi pemain import dari Ghana Julius Ofori, yang bijak menolak masuk bola hasil hantaran jauh rakan sepasukan dalam kotak penalti.

Selang lima minit kemudian, Julius Ofori menambah jaringan tuan rumah menerusi rembatan dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol Selangor FC ll Sikh Izham Nazrel.

Kelebihan dua gol itu memberi keyakinan kepada barisan pemain KUFC untuk terus menguasai perlawanan, dengan hantaran bola pendek memaksa pasukan pelawat lebih banyak bertahan sehingga tamat aksi separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, KUFC hampir membolosi gawang Selangor FC II buat kali ketiga pada minit ke-52, namun percubaan pemain import Njoku Jacob dalam kotak penalti hanya singgah di tiang gol lawan.

Ketinggalan dua gol, Selangor FC II berusaha mencipta gerakan bagi mengurangkan defisit jaringan namun percubaan mereka membolosi gawang tuan rumah tidak berhasil.

Sebaliknya, Njoku Jacob menambah duka pasukan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga KUFC pada minit ke-80, menerusi rembatan deras dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Pemain gantian KUFC Muhammad Asraff Aliffuddin melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-88.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan KUFC sehingga kini mengumpulkan 24 mata untuk berada di kedudukan kelima hasil enam kemenangan, enam seri dan tewas empat kali.–Bernama