Jejak aliran wang jelas tunjukkan dana SRC masuk akaun Najib

DATUK Seri Najib Razak tidak membuat sebarang laporan dan aduan kepada AmBank dan tidak melakukan sebarang tindakan berhubung wang berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya, Mahkamah Persekutuan pada Jumaat diberitahu.

Jejak aliran wang jelas menunjukkan dana RM42 juta daripada akaun AmBank milik SRC International Sdn Bhd dipindahkan melalui akaun bank anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) sebelum dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Ihsan Perdana adalah syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi SRC International.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram dalam hujahan pada prosiding rayuan akhir sabitan Najib berhubung salah laku dana SRC hari ini, menjelaskan perkara itu disahkan melalui penyata akaun bank Najib dengan nombor berakhir 880 dan 906.

Sithambaram berkata, pergerakan dana terbabit melalui GMSB dan IPSB tidak menzahirkan sebarang perbezaan berhubung fakta bahawa ia adalah dana milik SRC yang dilencongkan ke akaun perayu (Najib).

“Perlu ditegaskan bahawa hanya kerana dana SRC melalui GMSB dan IPSB, ini tidak bermakna SRC sendiri melencongkan wang berkenaan.

“Hakim yang arif mendapati ini adalah fiksyen undang-undang dan ia tidak boleh dipertahankan. Ia disebabkan oleh fakta bahawa tiada sebab bagi SRC untuk memindahkan dana kepada GMSB dan seterusnya ke IPSB.

“Satu-satunya sebab logik ialah ia dilakukan sedemikian bagi mengelakkan dikesan dan ini disahkan melalui pemindahan yang dibuat pada hari sama tanpa alasan sah sebagai sebahagian daripada proses pelapisan yang sering digunakan oleh penjenayah,” katanya.

Sithambaram berkata, bekas Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman selaku saksi ke-37 pendakwaan memberitahu mahkamah, bahawa wang itu bukan milik IPSB tetapi sebaliknya digunakan sebagai saluran untuk pemindahan dana ke akaun perayu yang tidak didedahkan.

Fakta bahawa saksi itu diberitahu untuk memindahkan dana kepada penerima yang tidak didedahkan lagi mengesahkan bahawa tujuan pemindahan itu untuk mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

“Pembelaan Perayu bahawa beliau tidak mengetahui sumber dana itu juga adalah pembohongan yang disengajakan kerana akuan bersumpahnya sendiri mengesahkan pengetahuannya bahawa RM42 juta itu datang daripada SRC dan masuk ke akaun banknya.

“Mengikut undang-undang, ini adalah pengakuan secara bertulis. Perayu juga menggunakan dana RM42 juta untuk kegunaannya sendiri.

“Semua dana yang berada di bawah SRC pada bila-bila masa dan dari apa juga sumber secara nyata adalah hak milik SRC,” katanya.