BAYI berusia empat bulan maut akibat sesak nafas selepas mukanya dikatakan tertekup kain lampin ketika dalam buaian di rumah pengasuhnya di Taman Cempaka, Ampang Jaya, Kuala Lumpur petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika bayi lelaki itu ditinggalkan ibu dan bapanya yang bekerja di bawah jagaan pengasuh yang juga seorang wanita warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke sebuah klinik di Pandan Indah dengan ambulans Hospital Ampang dan sebaik tiba, bayi itu sudah tidak bernyawa.
“Bantuan kecemasan diberikan, namun mangsa menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama.
“Bayi terbabit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia jam 6.35 petang,” katanya mengesahkan punca kematian masih dalam siasatan, lapor BH Online.
Susulan kejadian itu, katanya sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menahan wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang juga pengasuh kepada mangsa yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
Semakan mendapati wanita itu yang ditahan jam 10.30 malam tadi, tidak mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah atau dadah.
Menurutnya, keterangan awal suspek memaklumkan si mati ditemui dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin dalam buaian berada pada mukanya.
“Ketika kejadian ibu bapa mangsa sedang bekerja, manakala bayi itu dihantar ke rumah suspek untuk dijaga,”
“Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini untuk tindakan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.