KADAR kebankrapan tinggi yang dihadapi orang ramai, terutama golongan belia dilihat semakin membimbangkan ketika ini.
Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata isu muflis yang berlaku ketika ini berada pada situasi yang lebih buruk daripada apa yang digambarkan.
“Kalau kita rujuk kenyataan dari Gabenor Bank Negara, kadar muflis dalam negara menurun setiap tahun sejak 2016, tetapi hakikat sebenarnya bukanlah begitu,” katanya.
“Ini disebabkan jika kita lihat pada tahun 2018 dan 2020 berlaku peningkatan kadar ambang bagi mereka yang diisytiharkan muflis,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Khamis.
Jelasnya, tindakan untuk menaikkan nilai ambang daripada RM50,000 kepada RM100,000 menyebabkan lebih ramai mampu mengelak daripada diisytiharkan muflis meskipun hakikat sebenar adalah berbeza.
“Maksud peningkatan kadar nilai ambang adalah, sebelum ini, mereka yang berhutang melebihi RM50,000 sebelum tahun 2018, pemiutang berhak membawa kes ke mahkamah untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai muflis.
“Tetapi, pada 2020, nilai ambang itu dinaikkan kepada RM100,000, jadi kalau seseorang itu berhutang lebih daripada RM100,000 baru boleh diisytihar sebagai muflis,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan data dikeluarkan Jabatan Insolvensi mendapati terdapat 18,070 individu diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2020 hingga Jun 2022.
Daripada angka tersebut, 3,165 daripadanya telah muflis dari Januari hingga Jun tahun ini dengan kebanyakan daripadanya berumur 35 hingga 44 tahun.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata kegagalan untuk menguruskan kewangan peribadi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada masalah muflis ini.
“Ramai menjadi muflis berpunca daripada ketidak mampuan menguruskan kewangan peribadi atau tidak mempunyai pengetahuan pengurusan kewangan yang secukupnya,” katanya.
Perkara itu dapat dilihat apabila data daripada Jabatan Insolvensi menunjukkan seramai 1,486 individu bersamaan 43 peratus kes muflis melibatkan pinjaman peribadi.
Selain itu, Ahmed Razman turut melihat kadar muflis yang tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 35 hingga 44 tahun adalah disebabkan komitmen yang lebih tinggi.
“Kalau kita lihat mereka yang baru mula bekerja, masih tidak layak untuk mendapatkan kad kredit ataupun belum mempunyai pinjaman perumahan.
“Tetapi mereka yang berumur 35 ke atas pula, sudah mula memiliki rumah, kereta ataupun mempunyai kad kredit.
Jadi, disebabkan itu risiko menjadi muflis adalah tinggi dalam golongan ini kerana mereka mempunyai pendapatan tetap, namun dalam masa sama mempunyai pelbagai jenis komitmen kewangan dan pinjaman,” katanya.-SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.