Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis tumpas ‘Geng Hitam Putih” -

Polis tumpas ‘Geng Hitam Putih”

PIHAK polis berjaya menumpaskan kumpulan samun ‘Geng Hitam Putih’ dipercayai bergiat aktif di sekitar Johor Bharu berikutan penahanan empat lelaki tempatan, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata kesemua individu berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar Iskandar Puteri kira-kira 1.30 petang, susulan aduan dibuat seorang mangsa yang disamun dan dilarikan kereta di kediamannya.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang Rabu itu, mangsa yang juga seorang guru wanita berusia 38 tahun bersama tiga anaknya sedang berada di dalam rumah sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal meluru masuk ke rumah sebelum mengacukan pisau kepada mangsa.

“Dua lelaki terbabit kemudiannya mengambil telefon dan melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi milik mangsa yang tinggal di Taman Mutiara Rini, Skudai.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dengan jenayah berkenaan dan turut merampas kereta serta dua telefon milik mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, lapor Bernama.

Rahmat berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu terbabit dengan 12 kes jenayah termasuk samun, pecah rumah dan melarikan kenderaan yang dilakukan di sekitar negeri ini dengan tujuh daripadanya di Iskandar Puteri.

“Selain itu, hasil saringan air kencing mendapati kesemua lelaki tersebut positif dadah dengan dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Jelas Rahmat, lelaki berkenaan masih direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.