SEORANG pengguna Facebook terkejut selepas sebuah kedai makan yang dikunjungi bersama keluarga di Port Dickson, Negeri Sembilan mengenakan caj harga ‘kayangan’.
Sufizans Iqbal berkata, beberapa jenis makanan laut yang dipilih dijual pada harga yang sangat tinggi.
“Bukan niat saya hendak menjatuhkan perniagaan seseorang, tetapi saya terkejut dengan harga begitu.
“Ikan kerapu dua ekor sampai RM190, pepahat dua plastik sehingga RM70, sotong 1.2kg pula RM114,” katanya dalam satu hantaran pada Rabu.
Tambahnya, hantaran yang turut disertakan gambar resit itu turut menunjukkan jumlah harga hidangan mencecah RM560.
Meninjau ruangan komen, beberapa pelanggan lain turut menyatakan restoran tersebut sememangnya meletakkan harga jualan yang tinggi.
Pengguna, Safiah Rania berkongsi bahawa harga makanan di kedai makan berkenaan sememangnya tinggi berbanding kedai-kedai lain.
“Akhirnya, ada juga orang bersuara. Saya baru sahaja terkena hari Ahad lepas. Tomyam dengan paprik untuk seorang makan, sotong dua ekor dan nasi putih tiga pinggan. Kesemuanya RM100,” katanya.
Mohd Tolhah turut menyuarakan dirinya pernah berdepan situasi sama apabila harga hidangan mencecah RM450.
“Saya juga dah terkena Sabtu lepas, memang pertama kali dan kali terakhirlah aku datang ke kedai ini. Taubat nasuhat terus aku tidak akan datang kedai ini lagi,” katanya.
Namun, beberapa pengguna Facebook lain turut berkongsi pendapat adalah lebih baik sekiranya pelanggan melakukan pemeriksaan harga dahulu sebelum memilih makanan.
“Sebelum makan, tengoklah harga dahulu dan buat perkiraan. Jika bersesuaian dengan bajet kita, masuklah dan makan, tetapi jika tidak carilah kedai lain,” ujar Zaini Sakmis.
Bagi Ah Ji Han, dia turut merasakan bahawa pelanggan turut bertanggungjawab untuk melihat harga jualan dahulu bagi mengelak perkara ini berlaku, khususnya di restoran makanan laut.
“Jangan salahkan peniaga sahaja, sebagai pengguna perlu tanya juga harga ikan dan lain-lain makanan sebelum dipilih dan dipesan untuk masak.
“Jadilah pengguna yang bijak dan tidak menyalahkan orang lain,” katanya dalam ruangan komen.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.