TINDAKAN pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merobohkan bangunan parkir berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai, mengundang perasaan kecewa dan kesal bagi pengguna pengangkutan awam itu.
Dalam satu tinjauan, pengguna meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila projek pembangunan perumahan di sekitar kawasan tersebut menyukarkan mereka untuk mendapatkan parkir yang sesuai.
Pekerja swasta, Ahmad Muzammil Idris berkata pengguna LRT terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di sekitar kawasan perumahan, sekitar kompleks membeli-belah Wangsa Walk ataupun di sekitar stesen LRT tersebut.
“Sebab dah roboh parkir untuk dibangunkan kondominium, jadi masalah untuk parkir berlaku apabila pengguna terpaksa meletakkan kenderaan di sekitar LRT Sri Rampai ataupun di kawasan perumahan.
“Jadi, saya nak tanya kepada pihak perancangan bandar dan DBKL yang telah meluluskan projek pembinaan, apakah yang difikirkan terhadap pengguna LRT Sri Rampai?” katanya, lapor Astro AWANI.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan keputusan untuk membina dua buah kondominium 38 tingkat yang tentunya mengakibatkan kesesakan di pusat bandar.
“Kalau sudah dirobohkan (bangunan parkir) dan dibina kondominium, jadi kawasan ini akan menjadi lebih padat.
“Parlimen sebelah ini iaitu Parlimen Wangsa Maju ini adalah kawasan yang terpadat di Malaysia, tetapi ia telah berjangkit ke kawasan ini (Setiawangsa) dan jika ditambah pula kondominium seperti ini, kepadatan ini akan jadi semakin teruk,” katanya.
Tambah Ahmad Muzammil, meskipun perkara ini sering disuarakan dan dikongsikan menerusi platform media sosial, sikap ahli parlimen dan pihak berkuasa yang tidak mengendahkan isu ini menambahkan lagi kekecewaan mereka.
“Perkara ini sudah dikongsikan di Twitter, tetapi YB tidak respons. YB jangan asyik hendak sibuk dengan politik ataupun menghentam kerajaan, tetapi tempat sendiri?” katanya.
Perkara ini diburukkan lagi apabila pengguna berdepan saman parkir dikeluarkan pihak DBKL yang tentunya menambah beban terhadap mereka.
Bagi pekerja swasta, Izham Zuhairy Ramlee, pihak berkuasa lebih cenderung untuk mengeluarkan saman berbanding memikirkan cara dalam menyelesaikan isu ini.
“Bagi saya, mereka memang tidak mengambil endah dan tidak mahu menyelesaikan masalah parkir di kawasan ini.
“Yang mereka tahu, jika ada yang meletakkan kenderaan di kawasan ini (stesen LRT), mereka gemar untuk mengeluarkan kompaun tetapi tidak menyelesaikan masalah utama,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.