Pemain pertahanan Manchester City didakwa perkosa tujuh wanita

0
308

PEMAIN pertahanan kelab bola sepak Manchester City, Benjamin Mendy didakwa mengurung beberapa wanita di dalam bilik tidurnya selepas memperkosa mangsa pada Isnin.

Pemain bola sepak berusia 28 tahun itu dituduh merogol dan melakukan keganasan seksual terhadap tujuh wanita berbeza dalam lima kejadian berlainan  di kediamannya di Cheshire antara Oktober 2018 hingga Ogos tahun lalu.

Pendakwa raya Timothy Cray QC memberitahu juri bahawa dua mangsa mendakwa telah dibawa ke beberapa bilik berkunci di banglo Mendy yang dikenali sebagai The Spinney sebelum dirogol.

Rakaman di rumah pemain bola sepak itu menunjukkan terdapat kunci-kunci rumit yang hanya boleh dibuka dari bahagian dalam bilik serta direka untuk menghalang pencuri daripada memecah masuk.

“Di dalam bilik tidur utama dan pejabat, terdapat beberapa kunci khas yang bertujuan untuk mewujudkan bilik panik (perlindungan) sekiranya dimasuki pencuri.

“Seseorang tidak boleh masuk dari luar dan hanya boleh dibuka dari bahagian dalam, cuma anda perlu tahu bagaimana untuk membuka kunci tersebut.

“Saksi-saksi berkata, mereka terkunci dari bahagian dalam apabila dibawa ke situ oleh Mendy,” kata Cray seperti dilaporkan Kosmo! yang memetik laporan akhbar Mirror UK.

Mendy menafikan enam tuduhan rogol, satu tuduhan serangan seksual dan satu tuduhan cubaan merogol.

Turut didakwa dalam perbicaraan kes tersebut ialah seorang rakannya, Louis Saha Matturie, 41, yang dikatakan membantu mencari mangsa buat pemain dari Perancis itu.

Sementara itu, Cray berkata, kekayaan dan status Mendy membolehkan pemain itu menerima bantuan pihak lain untuk menyediakan apa yang dia perlukan.

“Ini merupakan satu lagi kisah yang sering berlaku, di mana lelaki memperkosa wanita dan melakukan serangan seksual kerana mereka tahu mereka berkuasa serta boleh terlepas daripada hukuman,” tegasnya.

Perbicaraan kes itu masih bersambung. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here