Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis tahan warga emas dera anak angkat -

Polis tahan warga emas dera anak angkat

PIHAK polis menahan seorang wanita warga emas tengah malam Khamis kerana disyaki mendera anak angkatnya secara mengheret kanak-kanak itu dengan menarik rambutnya, di atas jalan berhadapan rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata wanita itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.10 tengah malam tadi selepas pihaknya menerima laporan orang awam, di samping mengesan klip video berdurasi 33 saat melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian itu.

Beliau berkata video itu memaparkan suspek menarik rambut kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang memakai baju sekolah dengan tangan sambil mengheretnya di atas jalan berhadapan rumahnya.

“Suspek merupakan warga tempatan dan kanak-kanak itu adalah anak angkat berdaftar kepada suspek serta dipercayai tinggal bersamanya sejak kecil,” katanya pada Jumaat, lapor Bernama.

Menurutnya, soal siasat juga mendapati kejadian berlaku kerana suspek dikatakan marah terhadap kanak-kanak itu kerana dipercayai beberapa kali telah mencuri wang suspek.

Ahmad Ridhwan berkata kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.