[VIDEO] Skandal LCS: Jangan guna alasan kebajikan veteran halalkan penyelewengan

0
1444

PERSATUAN Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengingatkan pihak-pihak terbabit dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) supaya tidak menjadikan kebajikan veteran tentera sebagai alasan untuk menghalalkan penyelewengan dalam proses pembinaan kapal berkenaan.

Presiden Veteran TLDM, Laksamana Pertama (B)Mohamad Imran Abd Hamid berkata, tindakan tersebut amat keji dan tidak bertanggungjawab.

“Merapu. Jangan hendak berselindung di sebalik kebajikan veteran untuk menghalalkan penyelewengan.

“Sebenarnya, terlalu banyak syarikat kontraktor diberi ‘sub’ kepada syarikat lain menyebabkan bayaran berganda dan duit lenyap begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi SatuBerita, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Imran berkata, dia sendiri pernah ditugaskan menyiapkan Kapal Diraja (KD) Lekir dan KD Kasturi di Jerman pada tahun 1981 hingga 1984.

“Tim kami berjaya menyiapkan kapal seperti dirancang tanpa ada gangguan kerana projek itu diberi secara ‘direct’ tanpa ada ‘sub’ dan ‘arahan ghaib’.

“Bila terlalu banyak subkontraktor, inilah jadinya. Cuba hanya diberi terus kepada BNS, pasti kapal LCS sudah ada hari ini,” katanya.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama-SB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here