RUU Antigangguan Seksual 2021 akan berkuat kuasa secara berperingkat – Rina

0
286

RANG Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang diluluskan di Dewan Negara hari ini akan berkuat kuasa secara berperingkat mengikut fasal setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata ia akan dimulakan dengan advokasi iaitu memberikan kesedaran, pendidikan dan pemahaman mengenai rang undang-undang itu kepada masyarakat yang akan dilakukan dalam siri jelajah seluruh negara.

“Uniknya rang undang-undang ini, ia boleh berkuat kuasa secara berfasa. Daripada 27 fasal, kita boleh kuat kuasa mengikut fasal-fasal tertentu yang dirasakan perlu disediakan.

“Selepas itu, kita juga hendak bangunkan peraturan dan garis panduan selepas ia diwartakan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata Tribunal bagi Antigangguan Seksual yang bakal dimulakan di Lembah Klang akan diperluas ke negeri dan daerah lain mengikut keperluan.

Rina berkata fasal dalam rang undang-undang itu juga memperuntuk tribunal tersebut boleh bersidang di mana-mana dan pada bila-bila waktu sekiranya terdapat keperluan selepas diputuskan oleh tribunal.

Beliau berkata mengikut fasal 4 rang undang-undang itu, tribunal hendaklah terdiri daripada presiden serta timbalan presiden yang dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan perundangan dan kehakiman.

“Selain itu, tidak kurang daripada lima anggota lain yang terdiri daripada orang yang merupakan anggota atau pernah memegang jawatan perkhidmatan kehakiman atau perundangan selain peguam bela dan peguam cara yang dilantik hendaklah tidak kurang daripada tujuh tahun pengalaman,” katanya.

Terdahulu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang AGS 2021, akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual, penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual, menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dengannya.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here