PRU-15 pilihan raya paling sengit – DAP

0
92

PERSAINGAN lebih tiga penjuru yang terdiri daripada pelbagai gabungan parti politik menjadikan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sebagai pilihan raya paling sengit kerana peralihan undian yang sukar untuk diramalkan.

Memetik Free Malaysia Today, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, senario pada masa ini sudah berubah jika dibandingkan dengan gabungan yang paling kuat, iaitu Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mempunyai simpanan tetap di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.

“Tapi sekarang, BN tak ada di Sabah dan Sarawak lagi dah. Daripada 14 parti, kini tinggal empat parti sahaja. Lepas PRU14, BN dah pecah dah. Parti-parti Sarawak keluar sendiri dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Di Semenanjung, kita ada tiga gabungan besar, iaitu BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Jangan lupa PN ini sebahagian daripada kerajaan hari ini dan mempunyai kelebihan dengan partinya Bersatu dan PAS yang memegang banyak negeri,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

Loke memaklumkan, keadaan itu bertambah sengit lagi dengan Warisan yang ingin masuk bertanding di kawasan Semenanjung serta Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Macam mana undi itu akan beralih? Kita tak tahu lagi, tidak ada sesiapa yang akan tahu. Sekarang semua pihak yang hanya membuat ramalan sahaja. Sehingga hari pengundian baru boleh buat analisa.

“Dalam konteks persaingan pelbagai penjuru ini, undi akan pecah-pecah. Sesiapa yang dapat undi tertinggi walaupun bukan majoriti dia akan menang. Yang dapat 30 peratus undi itu dah boleh menang.” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here