Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum -

Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan lebih satu tan daun ketum bernilai RM14,500 yang dibawa menggunakan lori dari Kedah ke Kelantan.

Menerusi serbuan pada pukul 4 pagi, JKDM Kelantan turut menahan seorang suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun yang juga pemandu lori.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, pasukan operasi dari Cawangan Penguat kuasa Rantau Panjang, JKDM Kelantan menerima maklumat penyeludupan ketum dan melakukan intipan serta mengekori lori berkenaan dari Tanah Merah.

“Suspek diarah memberhentikan lori dipandunya ketika sampai di Ketereh.

“Pemeriksaan lanjut di ruangan belakang lori menjumpai 145 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 1.45 tan bernilai RM14,500.

“Suspek dipercayai memandu lori dengan membawa muatan ketum diperoleh dari Kedah dan dibawa masuk ke Kelantan untuk dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan penyeludupan ketum tersebut dipercayai membabitkan sindiket dan pihaknya giat menjejaki individu lain terlibat.

Katanya, suspek yang berasal dari Tumpat direman empat hari bermula Selasa lalu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa itu mengesan taktik penyeludup yang bertukar pemandu kenderaan ketika dalam perjalanan membawa barangan termasuk rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Pada tahun ini, kes terbaharu, sejumlah 5.81 tan daun ketum dirampas membabitkan empat kes dan jumlah itu meningkat daripada 343 kilogram daun ketum yang dirampas melibatkan dua kes pada tahun lalu,” katanya.