Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua beradik kembali ke sekolah selepas empat tahun keciciran -

Dua beradik kembali ke sekolah selepas empat tahun keciciran

SEORANG ibu tidak dapat menggambarkan perasaaan gembira dan terharu apabila kedua-dua anak perempuannya menerima surat tawaran kembali ke sekolah setelah empat tahun terpaksa berhenti kerana dibelenggu masalah kewangan serta kesihatan.

Wanita berusia 54 tahun yang ingin dikenali sebagai Lisa berkata, mereka sering mengalami masalah kewangan namun keadaan menjadi lebih teruk pada tahun lepas apabila kaki kirinya terpaksa dipotong kerana penyakit kencing manis dan suami pula meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19.

“Suami pernah bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi tapi terpaksa berhenti kerana keadaan ekonomi tidak menentu ketika itu. Kemudian, dia bekerja sambilan untuk mendapatkan komisyen menjual hartanah dan sebagainya.

“Pada ketika itu, kereta juga selalu rosak di tengah jalan, lalu kami membuat keputusan untuk menjualnya. Ketiadaan pengangkutan untuk hantar anak ke sekolah dan masalah kewangan membuatkan kami terpaksa membuat keputusan untuk berhenti menghantar mereka ke sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dua beradik itu Yumn Nakyeishaa Amir Hamzah,16, dan Dahnea Dabryshaa Amir Hamzah, 14, turut melafazkan perasaan gembira mereka kerana akhirnya dapat menyambung pelajaran di sekolah. 

“Selama ini, kami berdua cuma bergantung dengan Google dan Youtube untuk membuat rujukan pembelajaran tapi ia kurang membantu kerana tiada guru untuk membimbing kami,” menurut kakak sulung dari dua beradik yang bersekolah di SJK Aik Keow Telok Air Tawar sebelum ini.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Datuk Zulkafli Kamaruddin hari ini menyerahkan surat tawaran kepada adik beradik itu untuk bersekolah di SMK Kampong Kastam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal Soon Lip Chee berkata pihaknya akan memberi bantuan kepada dua beradik itu untuk menghadiri kelas tuisyen supaya mereka boleh mengikuti perkembangan pelajaran dengan baik setelah empat tahun tidak bersekolah.

“Pihak kami juga telah memberi bantuan makanan, komputer riba, buku rujukan, alat tulis, beg sekolah dan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 masing-masing,” katanya. – BERNAMA