3 PATI wanita harung perjalanan 400km sembunyi dalam bonet kereta

0
316

TIGA wanita warga Myanmar terpaksa menahan azab perjalanan lebih 400 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan dalam bonet kereta kerana mahu diseludup ke Klang, tetapi berakhir dengan mereka ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, semua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu ditahan bersama-sama tiga lelaki yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah di Persiaran Tun Teja Alam Impian, Shah Alam, semalam.

“Sesemua mereka ‘diangkut’ seorang lelaki warga tempatan menggunakan sebuah kereta jenis Nissan Teana dengan bayaran RM300 sekepala.

“Ketika ditahan tiga lelaki warga Myanmar berada di tempat duduk penumpang manakala tiga wanita itu diletakkan di dalam bonet kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

Ujarnya, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 36 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Siasatan awal mendapati lelaki Melayu yang bertindak sebagai pemandu itu mengakui menerima upah daripada ‘Pok Sey’ bagi membawa kesemua mereka dari Kota Bharu ke Klang,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan beg milik pemandu, polis turut menemukan peralatan menghisap dadah dan plastik yang mengandungi 50 biji pil disyaki pil kuda.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua warga Myanmar direman selama 14 hari sehingga 24 Ogos ini manakala pemandu terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta ditahan reman selama 28 hari sehingga 7 September di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here