Skandal LCS: Tiada mana-mana pihak dilindungi

0
322

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan siasatan berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dijalankan dengan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan memandang serius isu terbabit yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ia juga dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini.

“Jemaah Menteri memutuskan untuk menggesa SPRM agar menyegerakan siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat jemaah menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Rabu.

Pada masa sama, beliau berkata mesyuarat jemaah menteri hari ini memutuskan supaya Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

“Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasikan, namun proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

“Keputusan hari ini tidak akan mengganggu proses mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan jemaah menteri pada 20 April lalu,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan TLDM.

“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here