Kecewa parti sertai GTA, Hamidah umum tinggalkan PUTRA

0
343

NAIB Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Osman, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Hamidah berkata, tindakan itu diambil susulan keputusan PUTRA untuk menyertai Gabungan Tanah Air (GTA) yang diumumkan penubuhannya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Susulan keputusan itu juga, Hamidah memaklumkan beliau akan turut melepaskan semua jawatannya dalam PUTRA.

Mengulas lanjut, beliau mengakui kecewa dengan keputusan Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, yang mahukan parti itu menyertai gabungan diterajui Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan hanya retorik politik mendekati Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

“Demi prinsip dan tanda hilang kepercayaan saya kepada Presiden dan kepemimpinan PUTRA yang bertindak bekerjasama dengan Tun M (Mahathir), maka saya melepaskan semua jawatan saya dalam PUTRA serta keluar parti itu serta-merta.

“Saya tidak mampu menggalas dosa menipu orang Melayu dan tidak tergamak menggunakan slogan perjuangan Melayu demi kepentingan peribadi sama ada untuk saya, Ibrahim Ali, dan Tun M atau sesiapa sahaja,” katanya ketika sidang media di Hotel Impiana Ipoh, Perak, lapor BH Online.

Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA dengan tujuan untuk menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

Bekas Perdana Menteri yang bertindak selaku pengerusi penaja berkata, gagasan itu akan hanya disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu.

Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti BERJASA, Zamani Ibrahim; Ibrahim selaku Presiden PUTRA; Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here