Sanggup terjun bangunan elak diberkas imigresen

0
200

SEORANG lelaki warga Indonesia nekad terjun dari tingkat empat bangunan rumah kedai di Kompleks Hentian Kajang, Kajang, dalam usahanya untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa menerusi serbuan tengah malam tadi.

Lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu terjun melalui tingkap di rumah sewa yang didiami bersama dua rakannya yang juga warga Indonesia di tingkat empat menyebabkan dia tersangkut pada bumbung di tingkat dua.

Dia kemudian jatuh ke tingkat bawah dan cuba melarikan diri ke belukar berhampiran sebelum berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang bertugas.

Akibatnya lelaki berusia 27 tahun itu mengalami patah kaki kanan selpas dipercayai patah akibat terjatuh dalam insiden berkenaan.

Lelaki itu memaklumkan bertindak sedemikian kerana takut memandangkan pasport miliknya sudah tamat tempoh pada Disember tahun lalu.

“Saya masuk Malaysia sejak tiga tahun lalu dan pasport sudah mati sejak Disember tahun lalu. Disebabkan itu, saya takut dan bertindak melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Lelaki itu antara 175 warga asing yang ditahan dalam Operasi Kutip (Op Kutip) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di lokasi berkenaan bermula jam 12 tengah malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memeriksa 425 warga asing di 134 kediaman membabitkan enam blok bangunan di lokasi terbabit.

“Daripada jumlah itu, kami menahan 132 lelaki, 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan warga asing terdiri daripada berusia antara dua hingga 55 tahun.

“Mereka yang ditahan membabitkan 115 warga Myanmar, 33 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, empat warga Sri Lanka dan seorang warga India,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Pihaknya sudah lama memerhatikan Kompleks Hentian Kajang apabila ramai warga asing termasuk dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta India mendiami kediaman kawasan berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan, anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu kediaman kerana ada di antara warga asing yang enggan memberi kerjasama membuka pintu rumah.

“Ada juga warga asing yang ditahan adalah pencari suaka warga Myanmar iaitu dari etnik Shan yang mempunyai surat Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan mempunyai keluarga di sini,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pekerja kedai di kawasan sekitar.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami turut menemui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam sektor perkilangan selain pemegang kad UNHCR etnik Rakhine yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) tinggal bersama.

“Kami juga menemui sebuah premis yang dipercayai pusat judi dalam talian, namun semua individu di dalam premis berkenaan melarikan diri melalui tingkap yang diumpil.

“Pemeriksaan di dalam premis itu yang dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) menemui kira-kira 20 komputer riba dipercayai digunakan bagi kegiatan judi dalam talian,” katanya.

Katanya, kebanyakan Pati yang ditahan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan laut menerusi pintu masuk di Johor.

“Semua warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen, menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh dan tamat permit kerja.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here