Polis tahan lelaki ganggu kuliah Subuh  

0
291

TINDAKAN seorang lelaki menarik mikrofon dan menjerit mendakwa ceramah yang disampaikan seorang penceramah terlalu bising dan mengganggunya membawa padah apabila dia ditahan dalam kejadian di sebuah surau di Ampang Campuran, dekat sini, Ahad lalu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.06 pagi ketika kuliah subuh disampaikan seorang individu di surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, suspek menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan  menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan menganggunya.

“Tindakan suspek tidak beradab dan menganggu tempat ibadah serta jemaah surau yang lain.

“Ketika kejadian, jemaah surau yang turut berada di situ bertindak menghalangnya dari melakukan perkara yang lebih parah dan meminta suspek meninggalkan surau tersebut dengan cara baik,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Utusan Online pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, suspek yang bekerja sebagai penjaga stor itu ditahan semalam.

“Suspek diberkas kira-kira pukul 7 malam di sekitar kawasan Ampang.

“Semakan rmendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan ugutan jenayah,” katanya.

Tambahnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here