Lelaki mabuk pandu melulu langgar 7 kenderaan

0
399

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk merempuh tujuh kereta di beberapa lokasi sebelum melarikan sebuah kereta yang dilanggarnya selepas melalui Jalan Persiaran Indapura, Lebuhraya Link Kedua dan Lebuhraya Johor Bahru-Ayer Hitam, Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, pada 7.30 malam tadi anggota kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang sedang meronda menerima maklumat kejadian itu.

MPV berkenaan katanya, bergegas ke lokasi dan menahan pemandu tersebut yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun sebelum membawanya ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan awal, lelaki berkenaan didapati memandu kereta jenis Toyota Hilux dari arah Johor Premium Outlet (JPO), Jalan Persiaran Indahpura bertindak merempuh lima kereta.

“Suspek kemudian memandu ke arah lebuh raya Linkedua dan memasuki Lebuhraya Johor Bahru-Air Hitam dan merempuh bahagian belakang dua kereta.

“Suspek kemudian menghenti kereta di sisi jalan dan bertindak melarikan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dirempuh menuju ke stesen minyak Petronas Saleng, Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dialami oleh suspek dan mangsa dalam kejadian tersebut.

“Ujian hembusan nafas dijalankan ke atasnya adalah positif manakala hasil saringan air kencing mendapati negatif penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beng Yeow berkata, reman dipohon atas suspek di Mahkamah Majistret Kulai dan mendapat kelulusan reman selama tiga hari mulai hari ini sehingga Khamis ini.

Kes disiasat katanya, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

“Polis juga siasat kes mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 selain disiasat mengikut Seksyen 454 Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2000 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun,” katanya menerusi siaran media. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here