Kertas siasatan kes dera budak autisme diserah kepada DPP

0
320

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KERTAS siasatan polis berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang disyaki didera di sebuah pusat terapi berbayar di Skudai, Johor Bahru, sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Polis Johor ketika ini sedang menunggu arahan pejabat berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan kes itu selesai selepas pihak polis menerima laporan daripada pakar perubatan berhubung kecederaan kanak-kanak berkenaan.

“Laporan itu penting bagi mengesahkan sama ada kecederaan kanak-kanak berusia enam tahun itu akibat didera atau faktor lain.

“Kita sudah merujuk kertas siasatan kes itu untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya mengulas perkembangan terkini kes tersebut yang sebelum ini masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Peringatan Hari Polis di Ladang REM di Kota Tinggi, hari ini.

Pada 30 Julai lalu, seorang ibu melaporkan kekesalan apabila anak istimewanya yang dihantar untuk menjalani terapi, disyaki didera ahli terapi di sebuah pusat terapi, sejak awal tahun ini.

Nik Huzaiwati Husin, 33, dilaporkan berkata, dia menghantar anak sulungnya, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, yang didiagnosis mild autism untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit sejak November 2019.

Dia mendakwa anaknya yang mesra dipanggil Abrisam sudah beberapa kali cedera tetapi setiap kali meminta penjelasan dari pihak terapi, memaklumkan kecederaan disebabkan aktiviti terapi.

Suri rumah itu turut membuat perkongsian di laman sosial facebooknya menggunakan akaun Cik Puan Zetty.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here