Gajah berkeliaran sekitar Taman Sri Impian Kluang sudah dihalau ke habitat asal

0
641

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor mengesahkan ada mengesan lebih 10 ekor gajah liar berkeliaran di sekitar Taman Seri Impian, Kluang, baru-baru ini. 

Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin berkata bagaimanapun pihaknya telahpun mengambil tindakan segera dengan menghalau semula kumpulan haiwan itu kembali ke habitat asalnya.

Beliau berkata pemantauan secara berterusan turut dijalankan susulan aduan daripada orang awam berhubung mamalia itu yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahan berkenaan, Ahad lepas.  

“Kita mengambil tindakan kawalan kerana kumpulan gajah itu besar dan apabila siasatan dijalankan, kita dapati sebelah kawasan perumahan itu ada ladang yang sedang dalam proses penanaman semula di peringkat awal yang mana pokok-pokok tua tu dalam buat proses ‘chipping’ (racik) yang dikhuatiri telah mengundang kehadiran gajah-gajah itu. 

Gajah ini tak pernah hadir begitu banyak sekali (meskipun) kawasan berhampiran memang ada gajah dan (dipercayai) kumpulan gajah itu turun ke kawasan ‘chipping’, ” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. 

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kumpulan gajah dikhuatiri mengundang risiko bahaya, apatah lagi sering muncul di lokasi terbabit berikutan terdapat tapak pasar malam di kawasan berhampiran. 

“Kebiasaannya tapak pasar malam ini (terdapat segelintir) peniaga yang buang sisa makanan atau pun buah-buahan dan ada gajah yang datang ke situ kerana ada sumber makanan. 

“Selepas itu, kumpulan gajah itu dipercayai kembali ke Gunung Lambak kerana di situ kawasan keliaran,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan kumpulan mamalia itu.

“Sebarang aduan serta maklumat mengenai hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau [email protected] atau ke pejabat Perhilitan yang berhampiran, ” katanya.

Terdahulu, tular gambar dan video berdurasi satu minit di laman sosial Facebook yang memaparkan kehadiran gajah yang dipercayai mencari sumber makanan di kawasan perumahan Taman Seri Impian, Kluang.—Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here