[VIDEO] Kenapa susah sangat bawa masuk pekerja asing, sektor pembinaan sedang kritikal

0
615

KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk menyelesaikan isu kemasukan pekerja asing dalam kadar yang segera apabila masalah yang sedang dihadapi sektor pembinaan berhubung isu itu dikatakan semakin kritikal.

Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F, Tukiman Radion berkata, kelewatan kemasukan pekerja asing ke negara ini saban hari menimbulkan tanda tanya dalam kalangan kontraktor-kontraktor di Malaysia terhadap kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Keadaan sektor pembinaan berkaitan kemasukan pekerja asing pada ketika ini agak kritikal. Kita sudah mula tertanya-tanya mengapa teralu sukar untuk membawa masuk pekerja asing? Masih belum ada atau bagaimana?

“Projek sudah banyak yang dimulakan. Sememangnya keadaaannya sangat meruncing dan kekurangan pekerja dapat dirasakan dengan begitu ketara,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

Pada 19 Julai lalu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa kecewa apabila cadangan untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing masih belum dapat diselesaikan sedangkan ada keperluan mendesak dalam banyak sektor pekerjaan seperti industri kecil dan sederhana (SME), perladangan dan pembinaan.

Menurut Tukiman, masalah kekurangan pekerja memberikan kesan yang signifikan terutamanya terhadap kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana apabila mereka kini sedang mengalami kerugian dengan kenaikan kos bahan-bahan binaan.

Malah menurut beliau,perkara itu diburukkan lagi dengan pekerja-pekerja asing yang sedia ada di dalam negara ketika ini mempunyai permintaan bayaran yang tinggi.

“Buruh asing yang sedia ada dalam negara juga meminta bayaran yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM150 sehari. Kalau buruh asing yang baharu, mungkin kita boleh mendapatkan mereka untuk bekerja dengan harga bayaran RM80 sehingga RM100 sehari,” ujarnya.

Menurut Tukiman lagi, kontraktor kecil, sederhana mahupun besar sedang mengalami kerugian apabila perlu menangguhkan projek yang diterima akibat kekurangan tenaga kerja.

“Kita sedang mengalami kerugian. Apabila kami diberikan sesebuah projek, kami perlu memulakan projek tersebut dalam masa dua minggu sehingga sebulan. Dengan pekerja yang kurang projek juga mengalami kelewatan.

“Kalau projek yang dibawa oleh kontraktor kecil, mungkin memerlukan sekitar lima hingga enam orang pekerja, namun, kontraktor besar memerlukan sehingga 200 orang. Jadi, bagaimana kami nak mulakan projek? Tidak boleh,” katanya lagi.

Malah katanya, pihak kontraktor turut perlu meminta ihsan daripada pelanggan untuk memahami situasi mereka menangguhkan projek kerana pekerja yang tidak mencukupi selain ada pelanggan yang terpaksa membatalkan projek mereka.

“Mahu tidak mahu, buat masa sekarang kami terpaksa bertahan. Kami hanya buat setakat mana yang kami mampu sahaja. Kami juga perlu memikirkan alasan sewajarnya kepada pelanggan untuk terus bersabar.

“Malah, kalau mereka mahu ambil balik projek dan memberikannya kepada kontraktor lain, ianya sama sahaja. Kekurangan pekerja ini dirasai banyak sektor. Ibarat satu kitaran yang tidak berkesudahan,” ulasanya.

Sehubungan itu, Tukiman memohon pihak kerajaan untuk tidak memandang ringan dan melengahkan jalan penyelesaian kepada isu berkenaan yang semakin hari menghimpit sektor pembinaan dalam negara.

“Kita minta kerajaan menyelesaikan isu ini termasuk proses permit dan pas masuk dipermudahkan. Proses yang sedia ada cukup lama dan kami semakin hari semakin kekurangan pekerja. Mungkin ketengahkan alternatif lain yang lebih senang namun tidak membangkitkan sebarang masalah di masa depan.

“Kita juga nak minta, pekerja-pekerja yang sudah selesai proses untuk dibawa masuk ke dalam negara boleh dibawa masuk terlebih dahulu, sekurang-kurangnya boleh menampung kekurangan yang dihadapi buat masa sekarang,” ujarnya. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here