Skandal LCS: Heret pihak terbabit ke muka pengadilan – TLDM

0
543

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyokong sebarang ketirisan di dalam projek perolehan Littoral Combat Ship (LCS) disiasat dan pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan seberapa segera.

Dalam satu kenyataannya, TLDM menghargai keputusan yang dibuat kerajaan untuk meneruskan projek itu.

“TLDM berpandangan ia merupakan keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, memetik laporan Malaysia Gazette.

TLDM mengambil maklum dan melihat daripada sudut positif terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek perolehan LCS yang dikeluarkan pada 4 Ogos lalu.

TLDM amat mengalu-alukan syor yang dikemukakan oleh PAC dan mahukan hala tuju terbaik bagi projek LCS.

TLDM menekankan bahawa perolehan LCS merupakan perolehan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

“Keupayaan tempur yang perlu dimiliki TLDM mestilah sejajar dengan perkembangan lanskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau,” kata kenyataan itu.

Sebagai the end user, kelewatan pelaksanaan projek itu memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur armada TLDM malah kepada moral warga TLDM yang memerlukan kapal-kapal LCS untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Sehubungan itu, TLDM ingin menyeru semua pihak agar berganding bahu dan memberikan sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here