Penganggur mengaku bersalah cederakan pengawal keselamatan guna pedang

0
229

SEORANG penganggur yang didakwa menyerang pengawal keselamatan menggunakan pedang selepas ditegur kerana menunggang motosikal secara berbahaya, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani di sini, hari ini.

R Subramaniam, 41, dari Kampung Sungai Puntar, Bedong membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid, lapor Astro AWANI.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail Ahmad, 58, menggunakan sebilah pedang di kawasan pos pengawal di tapak projek perumahan Siera 4, Bukit Bayan, jam 4.40 petang 4 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas mangsa menegurnya kerana menunggang motosikal secara merbahaya di dalam kawasan tapak projek di kawasan perumahan itu.

Tertuduh yang pada mulanya beredar, kemudian datang semula bersama dua lagi rakannya dan menetak mangsa dengan sebilah pedang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan kiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman hari ini dan menetapkan 29 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dia perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda setiap awal bulan, sehingga kes selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here