Politik negara masih berorientasikan personaliti, bukan polisi

0
319

POLITIK dalam negara masih di dominasi perbincangan berkaitan personaliti pemimpin berbanding daripada polisi yang mahu dilaksanakan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Masalah ini berlaku kerana politik negara kekurangan ahli politik yang memberikan penekanan untuk tujuan tersebut.

“Politik kita terlalu berorientasi personaliti dan kurang berorientasi polisi sedangkan untuk membangunkan negara dengan lebih baik kita perlu lebih banyak polisi dalam kalangan orang politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku bertajuk Genta Telah Berbunyi, Masa Untuk Generasi Baru hasil tulisan penulis dan budayawan, Raja Ahmad Aminullah di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Clubhouse, Kuala Lumpur hari ini.

Untuk menangani isu tersebut, Saifuddin berkata, parti politik perlu membaiki aspek pengkaderan dalam parti masing-masing dengan meningkatkan penghayatan terhadap budaya ilmu.

“Sesetengah parti soal pengkaderan terutamanya berkaitan menghayati budaya ilmu ini masih kurang.

“Ini harus ditingkatkan baru kita dapat melatih ahli politik dan pimpinan yang berkualiti serta menguasai aspek pembinaan polisi,” jelasnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas mengenai buku dilancarkan itu, Saifuddin berkata, ia merupakan naskhah yang perlu ditekuni oleh kumpulan pemimpin generasi muda.

Katanya, ini kerana buku tulisan Raja Ahmad yang diterbitkan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) itu kaya dengan ‘azimat’ daripada tokoh besar antaranya khalifah Islam terawal; sasterawan tersohor, WS Rendra dan pemikir, Edward Said.

Menerusi ucapan perasmiannya, Saifuddin berkata, buku itu turut memberi peringatan mengenai fungsi pemimpin dan pemegang jawatan tertentu di dalam negara yang bertanggungjawab memberi penerangan untuk memandaikan masyarakat.

“Bagi sesetengah orang, fungsi utama penerangan atau menerangkan ialah melakukan propaganda. Lagenda propaganda ialah menteri propaganda bagi bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler, iaitu Joseph Goebbels.

“Tetapi Raja Ahmad tidak mahu Goebbels. Yang beliau impikan ialah antara lain ‘public intellectuals’ serta gelanggang kebebasan untuk bersuara dan berkarya supaya rakyat menjadi pandai.

“Justeru, kita perlu menghidupkan budaya ilmu. Meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling atas; sentiasa menuntut ilmu; dan setiap keputusan serta tindakan adalah berasaskan ilmu,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here