Bersatu wadah politik paling sesuai untuk Tengku Zafrul

0
413

TIMBALAN Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri mencadangkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai Bersatu yang dilihat lebih sesuai dengan Menteri Kewangan itu.

BERIKUT KENYATAAN PENUH BELIAU:

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disaran menyertai parti Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas dan ikhlas berjuang membanteras rasuah serta melaksanakan pembaharuan landskap politik dan pentadbiran kerajaan berintegriti.

Bersatu adalah wadah perjuangan politik yang paling sesuai untuk Menteri Kewangan itu apatah lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan beliau dilantik menjadi senator dan seterusnya mengisi jawatan tersebut.

Bagi Bersatu, kami tiada masalah dengan niat Tengku Zafrul menyertai politik secara aktif untuk meneruskan pembaharuan fiskal negara tetapi kami yakin ia hanya sia-sia jika beliau berada dalam parti yang salah.

Kami yakin, matlamat pembaharuan fiskal itu hanya dapat direalisasi dan disempurnakan menerusi visi induk pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara yang diperjuangkan oleh Muhyiddin bersama parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional.

Jadi, jika beliau mahu menyertai UMNO, kita semua tahu parti itu diterajui kepemimpinan yang ketirisan integriti malah ada yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dengan kes rasuah serta melakukan penyelewengan.

Pada masa sama, keputusan Tengku Zafrul menyertai UMNO hanya akan mengecewakan rakyat dan perasaan itu akan dizahirkan oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak dengan tidak mengundi di kawasan beliau bertanding sama ada kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Saya ingin mengibaratkan, jika beliau mahu menjual produk berkualiti biarlah produk itu dijual di kedai yang bersih, tersusun serta pemiliknya sentiasa jujur dengan tidak melakukan penipuan dalam jual beli kepada pembeli.

Jadi kalau betul-betul mahu berjuang dan meneruskan reformasi fiskal maka berjuanglah bersama Tan Sri Muhyiddin. Jika Tengku Zafrul salah memilih parti, ia akan berkesudahan dengan hasrat yange kecundang kerana pemimpin UMNO pasti tidak mengizinkan pembaharuan dilakukan untuk menggugat mereka.

Malah ura-ura kepemimpinan UMNO untuk mengangkat beliau sebagai ‘poster boy’ juga sekadar umpan untuk mengeksploitasi personaliti Menteri Kewangan itu untuk kepentingan parti semata-mata.

Pada sisi yang lain, saya menyarankan Tengku Zafrul berdiri dan bertanding PRU-15 atas tiket calon bebas dan parti yang menang pilihan raya itu akan mengangkat beliau menjadi menteri dalam Kabinet kerajaan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here