Rider ditindas, syarikat ‘besar kepala’

0
67

ISU ketidakadilan dan penindasan yang dihadapi oleh penghantar makanan atau ‘rider’ sudah menjadi bualan sejak dari dulu lagi namun masih tiada sebarang perubahan ketara yang dapat dilihat.

Naib Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Haris Fadhilah berkata, isu utama yang sering dihadapi oleh penghantar makanan adalah daripada aspek kadar bayaran upah (fare) yang kian lama kian menurun.

“Sebenarnya yang buat rider marah ini dia mengenai kadar upah (fare), kadar upah semakin lama semakin menurun, itu yang membuatkan mereka mogok satu hari ini.

“Kadar bayaran upah ini tertakluk kepada pihak syarikat, syarikat yang menentukan, kita sebagai rider tidak boleh rundingan harga, kita wajib menghantar pesanan ini tanpa menolak,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambah Haris Fadhilah, penghantar makanan tidak boleh menolak pesanan kerana mereka akan digantung atau ditamatkan kontrak jika berbuat demikian.

Pada Jumaat, gerakan solidariti penghantar makanan melakukan boikot ‘Food Delivery Blackout’ selama sehari, hari ini, susulan kadar upah mereka dikurangkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

Boikot berkenaan dimaklumkan menerusi satu posting yang dimuat naik di akaun twitter #PartTimeKL pada Khamis sebagai tanda solidariti kepada penghantar makanan.

Mengulas lanjut katanya, lambakan rider yang berpunca dari pengambilan pekerja tanpa had dan syarikat bebas untuk mengambil pekerja, sekali gus menjadi punca terhadap kadar bayaran upah yang menurun.

“Pihak syarikat tidak ada mengeluarkan apa-apa modal untuk kita bekerja dengan mereka, jadi di situ berlakunya lambakan rider. 

“Jadi bila syarikat tidak mengawal pengambilan rider, akan berlaku lambakan rider, itu yang pihak syarikat ambil kesempatan dengan menurunkan kadar bayaran upah,” katanya.

Dalam pada itu, Haris Fadhilah berkata, perkara itu harus diselesaikan segera dan diberi perhatian serius pihak kerajaan untuk menjaga nasib penghantar makanan.

Katanya, sejak mereka ditubuhkan pada Ogos 2020, pelbagai jalan, cara dan rundingan telah disuarakan kepada pihak syarikat P-Hailing, namun tidak diberi kerjasama.

“Sebenarnya punca yang perlu memainkan peranan ialah kerajaan untuk mengawal dan jangan biarkan rider-rider ini. Apabila tiada yang campur tangan, itu yang syarikat bertambah ‘besar kepala’. 

“Tiada siapa yang boleh halang mereka, tidak terikat dengan undang-undang. Isu ini bukan baru,” tegasnya.

Namun, seorang penghantar makanan yang berpengalaman hampir dua tahun, Izzmir Ikmal, 25, berkata sudah tidak mampu bertahan dengan penindasan yang dilakukan terhadap mereka.

Katanya, pengambilan pekerja harus dikawal kerana ia menjadi salah satu punca utama kadar pembayaran upah menurun.

“Syarikat ambil penghantar makanan tanpa henti, jadi bila ada lambakan ‘rider’, kita akan jadi ‘bangau’, buat sehari tidak dapat hasil seperti dulu.

“Bila ada lambakan ‘rider’, syarikat tidak rugi apa-apa, malah lebih menguntungkan sebab ‘rider’ ramai, yang terjejasnya adalah kami,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here