LCS: PH mahu projek ditangguhkan, siasat yang terbabit

0
275

PAKATAN Harapan (PH) mahu projek pembinaan kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) keenam yang belum bermula, dihentikan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu segera menyiasat individu yang terbabit dalam pengendalian kelulusan projek itu, terutama selepas projek yang bermula sejak 2010 sampai hari ini masih tidak dapat disiapkan.

Beliau berkata LCS ketiga, keempat dan kelima yang masing-masing baru 32 peratus, 27 peratus dan 16 peratus siap, dengan kos keseluruhan yang sudah dibayar RM1.28 bilion juga perlu ditangguhkan sementara.

“Bagi projek yang berikutnya (LCS6), kita syor ia dihentikan. Siapkan apa yang sudah tersedia (LCS1 dan LCS2). Menteri Pertahanan pada ketika itu, KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) mesti dipanggil dan disiasat untuk minta keterangan daripada mereka.

“Bukan hanya di peringkat bawah saja dipanggil. Saya tidak percaya projek dengan kos RM6 bilion itu hanya diputuskan di peringkat bawah pengurusan, mesti diputuskan oleh menteri.

“Kalau kita kata, nanti mereka jawab ini soal strategi pertahanan dan keselamatan. Kenapa tak pantau betul-betul. Saya harap perkara ini bukan saja diambil tahu oleh Ahli Parlimen, tapi persatuan tentera dan rakyat.

“Bila tanya kerajaan, wang tidak ada. Tapi wang sebanyak ini yang melibatkan ketirisan dan kebocoran dan saya percaya ini rasuah. Saya tuntut SPRM segerakan siasatan ini dan jangan lengahkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, peruntukan bagi membiayai LCS seterusnya lebih baik digunakan untuk menangani masalah kos sara hidup atau kebajikan veteran dan tentera yang sekarang ini didakwa tertekan.

“Saya gesa kerajaan untuk (pembinaan) fasa berikutnya yang belum komited, (membabitkan kos) RM500 juta mesti dihentikan. Kalau nak nilai, nilai kemudian. Sekarang sudah belanja RM6 bilion, ke mana wang itu.

“Setengah bilion ringgit harus dimanfaatkan kepada golongan berpendapatan rendah. RM500 juta sedia ada ini boleh dibelanjakan untuk rakyat memerlukan,” katanya lapor BH Online.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh dalam kenyataan pagi tadi mengeluarkan kenyataan berhubung prosiding jawatankuasa berkaitan isu pembinaan kapal LCS yang tidak siap.

PAC memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Katanya, sehingga kini kerajaan sudah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan, biarpun sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan pada Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here