[VIDEO] Kenapa kenyataan Zafrul berubah 360 darjah?

0
1404

Oleh MAHATHIR MOHD RAIS

KENYATAAN Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat seolah-olah memberi gambaran yang beliau tersepit antara memilih sama ada bertugas mengikut buku atau mengikut perintah tak bertulis.

Laporan terbaharu daripada beliau ini menunjukkan beliau mahu bermain persepsi dengan membuat kenyataan bahawa hutang 1MDB tidak menjejaskan kewangan negara.

Rakyat Malaysia faham dan sedar bahawa ini adalah cubaan untuk membersihkan nama individu yang bertanggungjawab di dalam isu hutang 1MDB, tetapi rakyat Malaysia juga ingin tahu apakah langkah-langkah, cadangan mahupun pandangan yang telah diketengahkan oleh beliau selaku Menteri Kewangan untuk menyelesaikan isu hutang ini.

Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu adalah berdasarkan portfolio selaku ahli teknokrat dan profesional dari sektor perbankan bagi mengelakkan Kementerian Kewangan dimanipulasi daripada tujuan politik dan tugas hakiki beliau adalah menguruskan dan menyelesaikan masalah kewangan negara yang sedang dihadapi .

Yang dipertanggungjawabkan kepada beliau ini adalah melibatkan duit rakyat, bukan syarikat persendirian milik Barisan Nasional.
Sekiranya hutang negara tidak dibayar dengan baik, negara berpotensi untuk diisytiharkan Muflis. Dalam masa yang sama ianya bakal memberi kesan negatif kepada pelabur luar untuk melabur.

Hal ini akan menjadikan negara berhutang dengan Bank Dunia di mana Tabung Dana kerajaan akan merosot. Dana yang dimaksudkan bukan sahaja dana pembangunan malah dana operasi awam juga akan terhakis. Ekonomi bakal menjunam dan kesannya adalah malapetaka bagi rakyat yang harus menanggung beban.

Negara telah mewarisi legasi hutang yang begitu serius. Ini antara lain mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta  mahal, kadar kemiskinan tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, serta kapitalisme kroni berleluasa.

Kini, kita dapat lihat negara kita sedang berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil pasca pandemik Covid-19, ditambah pulak dengan ketidakstabilan politik.

Belum pun selesai kes 1MDB, Tengku Zafrul yang dilihat tidak masuk campur sebelum ini, kini mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihatkan agenda tersembunyi.

Pada bulan Mac 2022, Tengku Zafrul sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa hutang 1MDB yang mula dibayar pada ketika itu adalah dengan menggunakan wang rakyat. Walau bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan semalam bagi menjawab soalan YB Wong Kah Poh telah beralih arah 360 darjah.

Perkara ini sangat membimbangkan dan amat menggelirukan rakyat. Sekiranya hutang 1MDB tidak termasuk dalam komitmen hutang kerajaan, mengapakah hutang tersebut dibayar menggunakan wang rakyat?

*Mahathir Mohd Rais adalah Ketua Bahagian Bersatu Segambut. Ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian SatuBerita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here