HANYA kerana rambut dipotong, seorang pelajar Tingkatan Tiga berang lalu bertindak memukul gurunya di sebuah sekolah menengah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu ketika guru disiplin wanita berusia 52 tahun sedang membuat rondaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata guru wanita itu menerima laporan daripada seorang guru berhubung seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang berambut panjang.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya bertindak menggunting rambut pelajar lelaki berkenaan.
“Pelajar lelaki itu marah dan mengugut mahu membunuh, sebelum dia bertindak memukul mangsa dengan penyapu.
“Akibat dipukul, mangsa cedera di mata kiri,” katanya, lapor BH Online.
Arsad berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan ke sebuah rumah dan menahan suspek.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah.
“Suspek ditahan reman bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 (KK),” katanya.