4 ADUN Bersatu Pulau Pinang rujuk peguam isu lompat parti

0
387

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes lompat parti melibatkan mereka, namun berpendirian tidak bersetuju dengannya.

Empat ADUN Bersatu berkenaan iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang) membuat pendirian itu menerusi kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, adalah penting untuk orang ramai mengetahui mereka mencabar Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang kerana percaya seperti yang berlaku hari ini, peruntukan itu terdedah kepada penyalahgunaan.

Malah jelas mereka, peruntukan itu juga telah digunakan secara salah terhadap mereka.

“Kami tidak pernah berpaling tadah atau menukar kesetiaan parti kami. Dua daripada kami telah dipilih di atas platform Bersatu dan kami kekal bersama Bersatu.

“Dua daripada kami pula telah dipecat daripada bekas parti kami kerana membuat kenyataan yang dianggap mengkritik kepimpinan parti,” demikian menurut kenyataan bersama itu.

Menurut mereka, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah menyatakan kerajaan negeri berhasrat untuk memastikan perlembagaan negeri selaras dengan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka, jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar tulus dan dalam semangat dwipartisan, kerajaan negeri akan menarik balik usul untuk menyingkirkan mereka sebagai ADUN.

“Adalah jelas di bawah pindaan yang dicadangkan, kami tidak akan kehilangan kelayakan,” katanya.

Tambahnya, mereka difahamkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah berdasarkan alasan yang sempit.

Sehubungan itu katanya, mereka telah mengarahkan peguam untuk mengkaji semula perkara tersebut bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas sebagai ADUN yang telah dipilih secara sah.

“Kami tidak percaya parti politik boleh mempunyai kuasa mutlak mengawal dan menentukan keputusan seseorang wakil rakyat.

“Sebagai wakil rakyat yang terpilih, kami mewakili semua rakyat di kawasan kami sama ada mereka mengundi parti kami atau tidak dan kami akan terus membuat keputusan berdasarkan apa yang kami rasakan adalah dalam kepentingan dan keperluan terbaik pengundi kawasan kami dan bukan hanya atas tuntutan parti,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan Malaysia memutuskan peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Kerajaan Pulau Pinang akan membincangkan nasib empat wakil rakyat berkenaan yang tidak lagi menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here