Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ambil tindakan penjualan cecair vape mengandungi nikotin -

Ambil tindakan penjualan cecair vape mengandungi nikotin

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) digesa mengambil tindakan tegas ke atas kedai yang menjual produk yang mengandungi bahan nikotin kerana bahan itu adalah barangan yang dikawal bawah Akta Racun 1952.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 belum dikuatkuasakan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kedai yang menjual bahan nikotin berkenaan.

“Mengikut akta ini, nikotin adalah racun Kumpulan C bawah Jadual Racun dan hanya boleh dikendalikan oleh ahli farmasi berlesen ataupun seorang doktor.

“Kedai yang menjual produk cecair vape yang mengandungi nikotin ini tidak mempunyai seorang ahli farmasi berlesen ataupun seorang doktor.

“Adalah jelas penjualan ini bercanggah dengan Akta Racun 1952 dan sewajarnya diambil tindakan undang-undang mengikut akta berkenaan.

“Siasatan terakhir yang dilakukan terhadap kedai menjual produk vape ini adalah pada November 2019. Oleh itu, KKM harus melakukan siasatan terhadap kedai ini untuk melindungi dan menjaga kesihatan rakyat sementara menunggu RUU ini untuk diluluskan di Parlimen pada sesi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.

RUU itu juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Dalam pada itu, Amrahi berkata, pihaknya menyokong penuh RUU berkenaan kerana ia satu langkah untuk mewujudkan satu Generasi Penamat (GEG) iaitu mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok dan barangan vape terhadap mereka yang dilahirkan pada dan selepas 2007.