Arab Saudi bina bandar futuristik lebih tinggi dari KLCC

DUNIA dikejutkan dengan pengumuman Arab Saudi apabila negara itu mengeluarkan gambaran projek The Line sepanjang 170 kilometer (KM) dengan ketinggian 500 meter sepanjang bandar teknologi Neom, Tabuk pada 26 Julai lepas.

Putera Arab Saudi, Mohammed bin Salman memperkenalkan reka bentuk infrastruktur selebar 200 meter diperbuat daripada kaca itu sebagai satu revolusi tamadun yang mengutamakan manusia, menjamin pengalaman baru di samping menjaga alam sekitar.

Pengalaman luar biasa dipenuhi teknologi dan alam semula jadi.

Ketinggian The Line yang lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas (451 meter) akan mempamerkan gaya hidup manusia di masa hadapan, dengan teknologi hijau tanpa kereta, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan tanpa pelepasan karbon.

Mohammed menyifatkan projek itu sebagai cara hidup alternatif yang bakal menyelesaikan pelbagai isu perancangan bandar masa kini yang akan menyebabkan kemusnahan alam sekitar.

“Bandar ini akan menjadi model untuk pemeliharaan alam semula jadi dan meningkatkan kebolehdiaman manusia bersama alam sekitar.

“Kita tidak boleh mengabaikan kebolehdiaman dan krisis alam sekitar dihadapi oleh bandar-bandar dunia kita, NEOM akan memberi penyelesaian baharu untuk menangani isu ini.

“NEOM akan menjadi tempat untuk semua orang dari seluruh dunia untuk hidup secara kreatif dan inovatif. NEOM ialah salah satu projek terpenting Wawasan Saudi 2030 dan kami komited untuk merealisasikan The Line,” katanya pada laman web projek tersebut yang akan menelan perbelanjaan sebanyak A$500 Bilion.

Gambaran infrastruktur sepanjang 170 kilometer itu dari teluk Aqaba.

Selain itu, segala urusan perniagaan di bandar ini akan berlaku sepenuhnya secara digital membenarkan 9 juta penduduknya mengakses segala kemudahan dalam 5 minit dan melintasi dari hujung ke hujung bandar ini dalam masa 20 minit sahaja dengan kereta api berkelajuan tinggi.

Bangunan pencakar langit itu akan merentasi Teluk Aqaba melalui banjaran gunung , pantai, padang pasir, sarat dengan keindahan alam semula jadi. -SB