11 individu dipercayai ahli sindiket along diberkas

0
281

SERAMAI 11 individu dipercayai ahli sindiket along yang melakukan khianat menggunakan api dan menyimbah cat terhadap rumah mangsa yang gagal membayar pinjaman, ditahan dalam serbuan di sekitar Pelangi Indah di sini dan Iskandar Puteri, pada Khamid dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata 10 warga tempatan iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita serta seorang lelaki Indonesia berusia antara 19 hingga 46 tahun, dipercayai ahli dua sindiket berbeza, ditahan hasil risikan serta maklumat awam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati ahli sindiket menerima upah RM450 hingga RM800 dan ada antaranya turut didapati meminjam wang serta bekerja dengan sindiket itu bagi melunaskan hutang mereka.

“Kita dapati ada (individu yang meminjam wang) terjebak (sindiket along) menjadi penyimbah cat dan khianat dengan api kerana tidak mampu membayar serta tidak ada kerja selepas membuat pinjaman along untuk menjelaskan hutang dengan jumlah hutang akan ditolak.

“Kita mahu sindiket sebegini tahu kes seperti ini kita ambil berat dan kegiatan ini akan dibanteras,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, menerusi tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes khianat dengan api dan simbah cat di negeri ini serta tiga kes lagi di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, dua sindiket itu masing-masing menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura sebagai mangsa dengan mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook.

Katanya, sindiket itu memberikan pinjaman tanpa persetujuan mangsa dan memaksa mereka membuat bayaran dengan kadar faedah tinggi serta membuat ugutan dengan menyimbah cat atau menggunakan api.

“Semua 11 individu itu direman seminggu bermula semalam mengikut Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here